Followers

Tuesday, October 5, 2010

Duta Islam Yang Pertama

MUS'AB BIN UMAIR R.A. 

Mus'ab bin Umair r.a. adalah dalah seorang sahabat Nabi s.a.w. yang terkemuka. Ia adalah remaja Quraisy yang paling kacak dan tampan, penuh dengan jiwa dan semangat muda.

Para Muarrikh dan ahli riwayat memetik semangat kemudaannya dengan ayat "Seorang warga kota Makkah yang mempunyai nama paling harum."

Ia lahir dan dibesarkan dalam kesenangan dan kemewahan. Mungkin tidak seorang pun diantara anak anak muda Makkah yang beruntung dimanjakan oleh kedua orang tuanya sepertimana yang dialami oleh Mus'ab Bin Umair r.a.

Beliau adalah anak muda yang serba cukup, biasa hidup mewah dan manja. Kerana itu ia menjadi buah mulut anak-anak gadis Makkah dan menjadi bintang di tempat-tempat perjumpaan. Apatah lagi setelah keislamannya, ia meningkat sehingga menjadi buah cerita tentang kegigihan imannya, menjadi tamsil dan teladan dalam semagat kepahlawanan. Riwayat Mus'ab bin Umair r.a. adalah sangat mempersona. Mus'ab bin Umair r.a. adalah salah satu diantara peribadi peribadi kaum muslimin yang ditarybiyyah dengan didikan langsung oleh Muhammad s.a.w.


HIDAYAH ALLAH UNTUK MUS'AB BIN UMAIR R.A.

Suatu hari, anak muda ini mendengar berita yang tersebar luas di kalangan penduduk Makkah mengenai Muhammad al-Amin. Nabi Muhammad s.a.w. telah mengisytiharkan dirinya telah diutus oleh ALLAH SWT sebagai pembawa berita gembira mahupun duka, sebagai pendakwah yang mengajak umat beribadah kepada ALLAH.

Sebaik sahaja perhatian penduduk Makkah tertumpu pada berita itu dan tiada yang menjadi buah perbincangan mereka kecuali tentang Rasulullah s.a.w. serta agama yang dibawanya, maka anak muda yang manja ini paling banyak mendengar berita tersebut. Kerana walaupun usianya masih muda belia, tetapi ia menjadi bunga majlis tempat-tempat perjumpaan yang selalu diharapkan kehadirannya oleh teman-temannya. Gayannya yang tampan, menarik dan otaknya yang cerdas merupakan keistimewaan Ibn Umair dan menjadi daya pemikat dan pembuka jalan penyelesaian berbagai masalah.

Diantara berita yang didendarinya ialah bahawa Rasulullah s.a.w. bersama pengikutnya biasa mengadakan perjumpaan di suatu tempat yang selamat dari gangguan gerombolan Quraisy dan ancaman-ancamannya iaitu di kaki bukit Shafa, di rumah Arqam bin Abi al-Arqam. Keraguannya tiada bertahan lama, hanya sebentar waktu itu ia ke rumah Arqam menyertai rombongan itu. Di tempat itu Rasulullah s.a.w sering berkumpul dengan para sahabanya, solat beribadah kepada ALLAH Yang Maha Akbar.

Baru sahaja Mus'ab mengambil tempat duduknya, ayat-ayat al-Qur'an mulai mengalir dari qalbu Rasulullah s.a.w. bergema melalui kedua bibirnya dan sampai ke telinga, meresap ke hati para pendengar. Di senja itu, Mus'ab pun terpesona oleh untaian kalimah Rasulullah s.a.w. yang tepat menemui sasaran pada qalbunya!

Hampir sahaja anak muda ini terangkat dari tempat duduknya kerana terasa haru dan seakan-akan terbang kerana gembira. Tetapi Rasulullah s.a.w. menghulurkan tangannya yang penuh berkat dan kasih sayang dan mengurut dada pemuda pemuda yang sedang panas bergelojak hingga tiba tiba menjadi sebuah lubuk hati yang tenang dan damai, tak ubahnya bagai lautan yang teduh dan sangat dalam, pemuda yang telah islam dan iman itu nampak telah memiliki ilmu dan hikmah yang luas dari ukuran usianya dan mempunyai kepekatan hati yang mampu merubah jalan sejarah...!!


Ibu Yang Dikasihi Menjadi Penentang

Adalah Khunas bt Malik, ibunda Mus'ab, seorang yang berkeperibadian kuat dan pendiriannya tidak dapat ditawar atau diganggu gugat. Ia wanita disegani malah ditakuti!

Ketika Mus'ab memeluk Islam, tiada suatu kekuatan pun yang ditakutinya dan dikhuatirkan selain ibunya sendiri, bahkan walau seluruh seluruh penduduk Makkah beserta berhala-berhala para pembesar dan padang pasirnya berubah rupa menjadi satu kekuatan yang menakutkan yang hendak menyerang dan menghancurkannya, tentulah Mus'ab akan menganggapnya ringan dan remeh. Tetapi tentangan dari ibunya sendiri bagi Mus'ab tidak dapat dianggap kecil. Ia pun segera berfikir matang dan mengambil keputusan untuk merahsiakan keislamannya sampai terjadi sesuatu yang dikehendaki ALLAH SWT. Demikianlah ia sentiasa berulang alik ke rumah Arqam menghadiri majlis Rasulullah s.a.w. sedang hatinya merasa bahagia dengan keimanan dan sedia menebusnya dengan marah murka ibunya yang belum mengetahui berita keislamannya.

Namun di KOta Makkah, tiada rahsia yang tersembunyi, apalagi dalam suasana seperti itu. Mata kaum Quraisy berkeliaran di mana mana mengekori setiap langkah dan mengintai setiap jejak. Usman bin Thalhah telah melihat Mus'ab memasuki rumah Arqam secara sembunyi. Kemudian pada hari yang lain dilihatnya pula ia solat seperti Muhammad s.a.w. Secepat kilat ia berjumpa dengan ibu Mus'ab dan mengadukan berita yang dijamin kebenarannya!


Ujian Pun Tiba

Berdirilah Mus'ab di hadapan ibu dan keluarganya serta para pembesar Makkah yang berhimpun di rumahnya. Dengan hati yang yakin dan pasti, dibacakan ayat-ayat Al-Qur'an yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w untuk mencuci hati nurani mereka, mengisinya dengan hikmah dan kemuliaan, kejujuran dan ketakwaan.

Ketika si Ibu hendak membungkam dan menutup mulut anaknya dengan tamparan yang keras, tiba tiba tangan yang terhulur bagai anak panah itu lemah longlai dan jatuh terkulai sebaik melihat nur atau cahaya yang membuat wajahnya yang telah berseri cemerlang itu kian berwibawa dan patut diindahkan, menimbulkan suatu ketenangan yang mendorong dihentikan tindakan tersebut.

Atas rasa keibuannya, ibunda Mus'ab menahan dari memukul dan menyakiti puteranya tetapi tidak dapat menahan diri dari tuntutan itu ke suatau tempat terpencil di rumahnya. Lalu dikurung dan dipenjarakan Mus'ab dengan kejamnya. Demikianlah beberapa lama Mus'ab tinggal dalam kurungan sampai saat beberapa orang Muslimin berhijrah ke Habsyah. Mendengar berita hijrah ini, Mus'ab pun mencari muslihat dan berjaya mengelabui mata ibu dan penjaga-penjaganya, lalu pergi lagi berhijrah kedua kalinya bersama para sahabat atas arahan Rasulullah s.a.w. dan kerana taat kepadanya.


Ujian Terus Menimpa

Samada di Habsyah ataupun di Makkah, ujian dan penderitaan yang mesti dialami Mus'ab disetiap saat dan tempat kian meningkat. Ia telah selesai dan berjaya menempa corak kehidupannya mengikut cara yang modelnya telah dicontohkan Muhammad s.a.w.

Pada suatu hari, ia tampil di hadapan beberapa orang Muslimin yang sedang duduk sekeliling Rasulullah s.a.w. Sebaik memandang Mus'ab, mereka menundukkan kepala dan memejamkan mata, beberapa orang nampak matanya basah kerana duka. Mereka melihat Mus'ab memakai jubah buruk yang bertampal-tampal, padahal belum lagi hilang dari ingatan mereka yang pakaiannya sebelum masuk Islam tak ubahnya bagaikan kembang di taman, berwarna warni dan menghamburkan bau yang wangi.

Adapun Rasulullah s.a.w. menatapnya dengan pandangan penuh erti, disertai cinta kasih dan syukur dalam hati, pada kedua bibirnya keluar ucapan hikmah mulia dgn sabdanya: (Mafhum)

"Dahulu saya melihat Mus'ab ini tak ada orang yang menandingi dalam memperolehi kesenangan dari orang tuanya kemudian ditinggalkannya semua itu demi cintanya kepada ALLAH dan RasulNya"

Semenjak ibunya merasa putus asa untuk mengmbalikan Mus'ab kepada agama yang lama, ia telah menghentikan segalam pemberian yang biasa dilimpahkan kepadanya, bahkan tidak membenarkan makanannya dimakan oleh org yang telah mengikngkari berhala, sebaliknya ia hanya patut mendapat kutukan daripadanya walau anak kandungnya sendiri.

Akhir pertemuan antara Mus'ab dan ibunya, ketika perempuan itu cuba hendak mengurungnya lagi sewaktu pulang dari Habsyah. Ia pun bersumpah dan menyatakan tekadnnya untuk membunuh orang-orang suruhan ibunya sekiranya rancangan jahat tersebut dilakukan. Kerana si Ibu telah mengetahui kebulatan tekad puteranya yang telah mengambil satu keputusan, maka tiada jalan lain baginya kecuali melepaskannya dengan cucuran air mata, sementara Mus'ab mengucapkan selamat berpisah dgn menangis pula.

Saat perpisahan menggambarkan kepada kita kegigihan luar biasa dalam kekafiran pihak ibu, sebaliknya kekuatan tekad yang lebih besar dalam mempertahankan keimanan dari pihak anak. Ketika ibunda mengusirnya dari rumah sambil berkata:

"Pergilah sesuka hati mu! Aku bukan ibu mu lagi!

Maka Mus'ab menghampiri ibunya sambil berkata:

"Wahai bunda! Telah anakanda sampaikan nasihat pada bunda dan anakanda menaruh kasihan pada bunda. Kerana itu saksikanlah bahawa Tiada Tuhan melainkan ALLAH dan Muhammad adalah hamba dan utusanNya"

Dengan murka dan naik darah ibunya menyahut:

"Demi bintang! Sekali kali aku tidak akan masuk ke dalam Agama mu itu. Otak ku boleh jadi rosak dan buah fikiranku tidak akan diindahkan orang lain!"

Demikianlah Mus'an bin Umair r.a. meninggalkan kemewahan dan kesenangan yang dialaminya selama itu dan memilih hidup miskin dan sengsara. Pemuda kacak itu, kini telah menjadi seorang fakir dengan pakaiannya yang kasar dan usang, sehari makan dan beberapa hari menderita kelaparan. Tetapi jiwanya telah merobah menjadi seorang manusia lain iaitu manusia yang dihormati, penuh wibawa dan disegani.


Dilantik Sebagai Duta Islam Yang Pertama

Suatau hari, Mus'ab dipilij oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjalankan tugas penting, saat itu ia menjadi duta atau utusan Rasul ke Yathrib untuk mengajarkan seluk beluk Agama kepada orang orang Yathrib yang telah beriman dan berbai'ah kepada Rosulullah s.a.w. di bukit 'Aqabah. Selain itu, ia mengajak orang-orang lain menganut agama ALLAH serta mempersiapkan bandar Yathrib untuk menyambut Hijrahtur Rosul sebagai peristiwa besar.

Sebenarnya di kalangan sahabat ketika itu masih ramai yang lebih tua, lebih berpengaruh dan lebih dekat hubungan kekeluargaannya dengan Rosulullah s.a.w. daripada Mus'ab. Tetapi Rosulullah s.a.w. menjatuhkan pilihan kepada "Mus'ab yang baik". Dan bukan tidak menyedari sepenuhnya bahawa beliau telah memikulkan beban tugas amat penting ke atas bahu pemuda itu dan menyerahkan kepadanya tanggungjawab dan nasib agama Islam di bandar Yathrib (yg kemudiannya dikenali sebagai Madinah), suatu kota yang tak lama lagi akan menjadi bandar hijrah, pusat para pendakwah dan tempat berhimpunnya penyebar agama dan pembela Islam. Mus'ab memikul amanah itu dengan bekalan kurnia ALLAH SWT kepadanya berupa fikiran yang cerdas dan budi pekerti yang luhur. Dengan sifat zuhud, kejujuran dan kesungguhan hati, ia berjaya melunakkan dan menawan hati penduduk Madinah hingga mereka berduyun duyun memeluk agama Islam.


 Madinah

Sebaik sahaja sampai di Madinah, ia mendapati kaum Muslimin di sana tak lebih dari dua belas orang, yakni hanya orang-orang yang berbai'ah di bukit 'Aqabah. Tetapi tidak sampai beberapa bulan kemudian, meningkatlah orang yang sama-sama memenuhi panggilan ALLAH dan RosulNya.

Pada musim haji berikutnya dari perjanjian 'Aqabah, kaum muslimin Madinah menghantar perutusan yang mewakili mereka berjumpa dengan Nabi s.a.w. dan perutusan itu dipimpin oleh guru mereka yang juga sebagai duta yang dihantar Nabi kepada mereka iaitu Mus'ab bin Umair r.a.!

Dengan tindakannya yang tepat dan bijaksana, Mus'ab bin Umair r.a.telah membuktikan pilihan Rosul s.a.w. ke atas dirinya itu sangat tepat. Is memahami tugas dengan sepenuhnya hingga tidak terlanjur melampaui batasan yang telah ditetapkan. Ia sedar bahawa tugasnya adalah menyeru kpd ALLAH SWT, menyampaikan berita gembira  iaitu dengan lahirnya suatu agama yang menagajak manusia mencapai hidayah ALLAH SWT, membimbing mereka ke jalan yang lurus, akhlaknya mengikuti cara hidup Rosulullah s,a,w, yang diimaninya, ia memegang amanah yang hanya menyampaikan belaka.


Dakwah di Madinah

Di Madinah Mus'ab bin Umair r.a. tinggal sebagai tetamu di rumah As'ad bin Zararah r.a. Dengan didampingi As'ad, ia pergi mengunjungi kabilah kabilah dari rumah ke rumah dan tempat-tempat-tempat perjumpaan untuk membacakan ayat-ayat suci dari ALLAH, menyampaikan kalimatullah "bahawa ALLAH Tuhan Maha Esa" secara berhati-hati.

Pernah ia menghadapi beberapa peristiwa yang mengancam keselamatan diri serta sahabatnya yang nyaris celaka kalaulah sahaja tidak kerana kecerdasan akal dan kebesaran jiwanya (asbab). Suatu hari, ketika ia sedang memberikan pelajaran kepada orang ramai, tiba-tiba diserang Usaid BIn Hudhair, kepala suku kabilah Abdul Azyhal di Madinanh. Usaid menuding Mus'ab dengan lembingnya. Betapa marah dan murkanya Usaid, menyaksikan Mus'ab yang dianggap akan mengacau dan memesongkan pengikutnya dari agama mereka serta mengenalkan Tuhan Yang Maha Esa yang belum pernah merka kenali dan mereka dengar sebelum itu.

Pada Usaid, tuhan tuhan mereka yang bersipuh lena di tempatnya masing masing mudah dihubungi secara nyata. Jika seseorang memerlukan salah satu diantaranya, tentulah ia akan mengetahui tempatnya dan segera pergi mengunjunginya untuk mengadukan sebarang masalah dan kesusahan serta menyampaikan permohonan. Demikianlah yang tergambar dan terbayang dalam fikiran suku Abdul Asyhal. Tetapi Tuhan Muhammad yang diserukan beribadah kepadaNya oleh utusan yang datang kepada mereka itu, tiadalah yang mengetahui tempat dan tidak seorang pun yang dapat melihatNya.

Begitu dilihat Usaid Bin Hudhair datang dengan marah bagaikan api sedang berkobar kpd orang orang Islam yang duduk bersama Mus'ab, mereka pun merasa kecut dan takut. Tetapi  "Mus'ab yang baik" tetap bertenang dengan airmuka tidak berubah.

Bagaikan Singa hendak menerkam, Usaid berdiri di depan Mus'ab dan As'ad bin Zararah, ia menengking:

"APA MAKSUD KAMU SEKALIAN DATANG KE KAMPUNG KAMI INI?? APAKAH HENDAK MENGHASUT DAN MEMBODOHI RAKYAT KECIL KAMI? TINGGALKAN SEGERA TEMPAT INI, JIKA TIDAK INGIN NYAWA KALIAN TERCABUT DARI JASAD!!"

Bagaikan ketenangan dan kemantapan samudera dalam, laksana terang dan damainya cahaya fajar, terpancarlah ketulusan hati "Mus'ab yang baik", dan bergeraklah  lidahnya mengeluarkan ucapan halus dan lemah lembut, katanya:



InsyaALLAH, bersambung..


*Dari kitab Rijalun Haula ar-Rosul

No comments:

Post a Comment